Tuesday 30 October 2012

STRATEGI ATASI PENYALAHGUNAAN DADAH




Pencegahan merupakan strategi jangka panjang yang bertujuan untuk melindungi seseorang daripada terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Konsep pencegahan adalah bagi mencegah seseorang mendekati mengambil dadah, mencegah seseorang daripada menagih semula dan mencegah seseorang daripada mendapat bekalan dadah. Memandangkan gejala penyalahgunaan dadah semakin berleluasa, strategi yang mantap perlu dilaksanakan. Antara strateginya adalah daripada pihak keluarga dan pihak kerajaan. 

Peranan keluarga
Mengapa keluarga amat penting dalam menangani gejala dadah? Hal ini adalah kerana kebanyakkan mereka yang terlibat dengan dadah akibat kekurangan kasih sayang daripada rumah. Kajian menunjukkan remaja mula terlibat dengan dadah apabila ibu bapa sering bergaduh, ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya hingga mengabaikan tanggungjawab pada anak-anak dan desakan ibu bapa yang meletakkan syarat yang tinggi dalam akademik mereka. Ibu bapa perlu peka dengan siapa dan ke mana anak mereka ke luar. Ia bukan bertujuan mengawal tapi mengambil berat supaya nasi tidak menjadi bubur. Ibu bapa juga boleh jalinkan ikatan yang baik dengan pihak sekolah untuk mengetahui perkembangan anak mereka kerana ada juga anak yang berpura-pura baik di depan ibu bapa tapi di sekolah membuat sesuatu yang buruk. Jadi, apabila ibu bapa sentiasa berhubung dengan guru, sedikit sebanyak membantu mencegah masalah ini.

Selain itu juga, Peranan keluarga yang harmoni amat penting supaya anak-anak rasa tenang dan berkongsi segalanya dengan ibu bapa dan tidak mencari keseronokan di luar rumah. Ibu bapa seharusnya mempunyai kemahiran keibubapaan supaya dapat menjadikan anak yang ke arah positif dan jauh daripada perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah ini. Di samping itu , setiap ahli keluarga juga perlu sentiasa berkongsi masalah. Ibu bapa harus  sentiasa bertanyakan masalah anak-anak.  Seterusnya, ibu bapa perlu membantu anak-anak menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebagai contoh, ibu bapa boleh meluangkan masa untuk membantu masalah pelajaran anak-anak. Sebaliknya anak-anak perlu memahami tanggungjawab dan bebanan ibu bapa mereka. Anak-anak perlu sentiasa membantu ibu bapa membuat kerja rumah tangga untuk meringankan tekanan mereka. Dengan itu,  setiap anggota keluarga akan berasa diri mereka diberikan perhatian oleh ahli keluarga yang lain. Aktiviti keluarga seperti gotong-royong dan hari keluarga patut diadakan dari semasa ke semasa supaya mengeratkan silaturahim sekeluarga.

Seperti yang diketahui umum, anak-anak muda sekarang mudah dipengaruhi unsur negatif. Sejajar dengan itu, ibu bapa perlu sedar tentang peranan mereka terhadap pembentukan sahsiah anak-anak. Anak-anak harus dididik dengan sempurna supaya menjadi insan beretika dan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat. Golongan muda merupakan harapan negara, bak kata pepatah pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh itu, mereka harus diberi kesedaran tentang kepentingan mengamalkan prinsip moral supaya dapat merealisasikan pelbagai wawasan negara kelak.

Sememangnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menyemai kesedaran tentang
pentingnya kehidupan beretika. Antara caranya ialah mencurahkan kasih sayang kepada anak sejak mereka kecil lagi. Ibu bapa perlu mengambil berat dan mencurahkan kasih sayang terhadap anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa patut meluangkan masa bersama-sama anak-anak untuk memahami serta mengambil berat tentang kehidupan mereka khususnya pelajaran mereka, hobi serta pergaulan mereka dengan rakan-rakan. Selain itu, ibu bapa patut menjaga anak masing-masing bagai menatang minyak yang penuh. Misalnya, bercerita kepada anak-anak yang masih kecil sebelum mereka tidur serta bergembira sesama anak-anak semasa sambutan hari jadi mereka atau semasa mereka memperoleh kejayaan. Lantaran itu, anak-anak akan membesar dan menjadi manusia yang beradab sopan, ceria serta berkeyakinan diri. Mereka tidak akan melibatkan diri dengan masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah kerana sedar bahawa perbuatan tersebut akan menyakiti hati ibu bapa. Sebaliknya, mereka menjadi orang yang mempunyai sahsiah yang baik, yakni, menghormati ibu bapa, bersopan santun, dan mendengar nasihat ibu bapa.

Di samping itu, ibu bapa perlu menjadi teladan yang baik kepada anak-anak. Ibu bapa patut mengamalkan amalan murni supaya dapat mempengaruhi anak untuk turut berbuat demikian. Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa merupakan orang yang dipercayai anak-anak. Segala tindak-tanduk serta amalan ibu bapa akan dicontohi anak sejak anak masih kecil lagi. Pendek kata ibu bapalah idola anak-anak. Jadi, ibu bapa yang mengamalkan pelbagai tabiat buruk seperti merokok, berjudi, berbohong, mencuri dan mengutuk rakan sekerja patut menghentikan tabiat buruk tersebut. Hal ini demikian kerana ke mana tumpahnya kuah, jika tidak ke nasi. Anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka. Sememangnya, ibu bapa tidak berhak mendisiplinkan anak  yang merokok dan mewarnakan rambut sedangkan diri sendiri juga berbuat demikian. Anak-anak juga tidak akan mempercayai serta menghormati ibu bapa seperti yang dinyatakan di atas. Justeru, ibu bapa harus menjadi contoh yang baik kepada anak-anak supaya mereka dapat membesar menjadi manusia berguna dan mengamalkan nilai-nilai murni yang ditunjukkan oleh ibu bapa.

Selain itu, ibu bapa patut memberikan didikan agama kepada anak-anak. Ibu bapa patut membawa anak-anak ke tempat beribadat untuk bersembahyang atau menjalankan pelbagai aktiviti bermanfaat seperti bergotong-royong. Sebagai  contohnya, membawa anak-anak ke masjid untuk bersembahyang bersama-sma. Dengan itu, anak-anak sedar akan kewajiban diri mengamalkan nilai-nilai murni termasuk mentaati perintah agama. Mereka akan dapat membezakan perkara baik dan buruk serta mempunyai disiplin diri untuk melakukan perkara yang betul. Walaupun anak-anak juga sentiasa berhadapan dengan godaan dan cabaran globalisasi, mudah-mudahan mereka  dapat mengawal diri dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah. Apabila anak-anak mendalami ajaran kitab berdasarkan agama masing-masing, mereka mendapat panduan hidup yang baik serta berusaha mengamalkan nilai-nilai murni kerana sedar bahawa kesudahan yang baik menanti diri mereka. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu menerapkan didikan agama dalam hati anak-anak sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tambahan pula pendidikan agama akan menjadi garis pandu kepada  mereka  agar membesar sebagai  insan bijaksana dan beretika.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu memantau aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak terutamanya golongan remaja. Hal ini demikian kerana anak-anak pada usia ini mudah terpedaya sehingga terpengaruh untuk terlibat dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah dan kumpulan mat rempit dan kaki lepak. Ibu bapa perlu memberikan perhatian terhadap pergaulan anak-anak. Anak-anak tidak harus bergaul rapat dengan pelajar bermasalah kerana dikhuatiri akan terpegaruh dengan sikap mereka. Sebaliknya, apabila pelajar berkawan dengan pelajar atau rakan yang beradab sopan, mereka akan menjadi orang yang bersahsiah mulia. Walau bagaimanapun,  ibu bapa perlu memantau aktiviti harian serta pergaulan sosial anak-anak kerana sebagai insan yang kurang matang, kadang kala mereka mungkin tersalah langkah. Jadi, sebagai ibu bapa, kitalah yang paling wajar mendorong mereka kepada jalan kebaikan. Memantau bukanlah bertujuan mengongkong tapi sebagai tanggungjawab terhadap anak-anak sebelum nasi menjadi bubur.

Kesimpulannya, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam membesarkan anak menjadi seorang yang bermoral dan bersahsiah mulia. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapalah yang mencorakkannya.  Jadikan sabda Iman Al-Ghazali sebagai iktibar , iaitu mendidik anak-anak umpama menanam biji benih. Ianya mesti dibajai, disirami dan dimanja dengan penuh kasih sayang, agar membesar dengan subur  dan mengeluarkan hasil. Begitu juga dengan pendidikan anak-anak. Mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang tetapi akan ditegur jika membuat kesilapan. Peribahasa Melayu menjelaskan, sayangkan anak tangan-tangankan, sayangkan isteri tinggal-tinggalkan. Semoga didikan ibu bapa yang mantap akan melahirkan  anak-anak yang  keperibadian terpuji, bersahsiah dan   dapat membantu negara untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan Gagasan Satu Malaysia. Secara tuntasnya, segala langkah di atas tidak akan berjaya sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua ahli keluarga seperti ibu bapa, abang dan kakak. Slogan “Keluargaku, syurgaku”, dan “Semakin hari semakin sayang” patut dihayati oleh seisi komuniti kita supaya melahirkan masyarakat madani dan sakinat.

 Peranan kerajaan
Strategi kedua ialah peranan daripada pihak kerajaan yang sememangnya banyak menyumbang kepada faktor pelindung bagi masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia. Di manakah terletaknya maruah Negara kita yang tercinta apabila sebilangan besar generasi muda tersebut telah terjerumus dalam kancah penagihan dadah. Oleh yang demikian kerajaan telah mengisytiharkan masalah dadah sebagai ancaman utama kepada keselamatan Negara. Antara langkah yang kerajaan Malaysia telah lakukan ialah dengan menetapkan pendidikan pencegahan dadah dalam memerangi najis dadah di Negara ini yang antaranya bertujuan meningkatkan paras kesedaran,kefahaman,dan pengetahuan pelajar mengenai dadah dan membolehkan pelajar menghayati nilai-nilai murni dan mengamalkan kehidupan yang sihat,selamat dan sejahtera tanpa dadah.
Antara aktiviti pendidikan pencegahan dadah yang dilakukan ialah program kecergasan-jauhilah dadah, kolokium membina ketahanan diri, skim lencana anti dadah, peraduan melukis poster anti dadah, kuiz pencegahan dadah dan program Cuma lima minit. Bagi melaksanakan setiap program ini memerlukan kerjasama banyak pihak contohnya program kecergasan telah melibatkan pasukan petugas anti dadah, MKN, JPM dengan kerjasama bahagian sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia dan penaja , Pepsi Cola International. Kesemua program pendidikan pencegahan ini adalah untuk melihat generasi muda bebas daripada kancah penagihan dadah demi mewujudkan sebuah Negara yang produktif dan progresif. 

Pihak yang berkenanaan sama ada kerajaan mahupun swasta dalam usaha untuk membanteras isu penyalahgunaan dadah perlu mengadakan pendidikan untuk mencegah. Sebagai contoh, mengadakan aktiviti-aktiviti seperti ceramah, seminar, pameran dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memberi informasi, pengetahuan serta kefahaman kepada masyarakat terutama golongan remaja tentang bahaya dadah dan kesedaran mereka. Selain itu, pihak yang berkenaan boeh mengadakan aktiviti ko-kurikulum seperti perkhemahan motivasi dan sebagainya. Agensi Anti Dadah Kebangsaan sebagai agensi utama dalam menggerakkan usaha memerangi dadah telah meluaskan tumpuan pencegahan dengan menjadikan sekolah sebagai institusi bebas dadah, keluarga sebagai institusi bebas dadah, tempat kerja sebagai institusi bebas dadah dan komuniti sebagai institusi bebas dadah. Pelbagai pendekatan dilakukan seperti persidangan, seminar, forum, kegiatan kemasyarakatan, latihan, publisiti, pameran, pendekatan kesedaran melalui media dan pendekatan-pendekatan bersepadu. 

Selain daripada program pendidikan pencegahan, kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang. Kerajaan mengenakan hukuman yang berat. Misalnya di berikan hukuman mati (gantung) bagi pengedar dadah. Hal ini adalah kerana tanpa pengedar dadah ini sudah tentu penagih akan sukar memperolehi bekalan dadah dan menimbulkan ketakutan kepada masyarakat supaya tidak sesekali terlibat dengan gejala negatif ini. Begitu juga kepada penagih dadah dikenakan hukuman yang berat. Sebagai contoh, hukuman bagi penyalahgunaan dadah jenis ‘Syabu’. Kesalahan mengedar dadah Syabu iaitu antara 20 gram hingga 50 gram (di bawah seksyen 3 (a) Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27). Hukuman minima adalah 20 tahun penjara dan 15 kali sebat dan  hukuman maksima pula adalah 30 tahun penjara dan 15 kali sebat.  Jika melebihi daripada 50 gram akan dikenakan hukuman mati (gantung). Manakala kesalahan bagi memakan dadah Syabu di bawah Seksyen 6 (b) Akta Penyalahgunaan Dadah Penggal 27, boleh dijatuhkan hukuman maksima 10 tahun penjara atau $20,000.00 atau kedua-duanya sekali.

            Pihak kerajaan juga telah menubuhkan rumah-rumah pemulihan yang bertujuan untuk memberi rawatan bagi penagih-penagih sama ada dari berbagai peringkat umur, bangsa dan lain-lain. Sebagai contoh, kerajaan Brunei telah menubuhkan sebuah rumah pemulihan yang dikenali sebagai Rumah Al-Islah untuk merawat serta memulihkan pemikiran mental serta tingkah laku  mereka kepada jalan yang benar serta di redhai Allah. Tidak kurangnya di tempat kita, banyak pusat pemulihan ditubuhkan bagi membasmi gejala ini. 

Pemulihan melibatkan prosedur rawatan seperti terapi dadah gentian, pengurusan tingkah laku, kaunseling, mencegah dari kembali menagih (relapse prevention), latihan menjadi asertif, sokongan masyarakat, pengisian dan perlembagaan rohani, dan penjagaan berterusan adalah satu komponen yang penting dalam proses pemulihan dari ketagihan dadah. Ia memerlukan sokongan penuh dari keluarga dan masyarakat. Kewujudan kumpulan sokongan yang membantu pusat pemulihan juga banyak menyumbang seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan, PEMADAM, PENGASIH, Pakar sakit jiwa, pakar kaunseling penagihan dadah, pakar psikologi, Ibu bapa dan guru. Contohnya PEMADAM adalah singkatan dari Persatuan Mencegah Dadah Malaysia . Ia adalah satu pertubuhan sukarela yang ditubuhkan untuk menolong mereka yang bermasalah berbangkit daripada penggunaan dadah, untuk memberi tunjuk ajar kepada orang ramai mengenai bahaya-bahaya penggunaan dadah dan juga untuk mendapat kerjasama orang ramai dalam usaha membasmi dadah. Misinya adalah membasmi dadah adalah tanggungjawab kita bersama dan kita perangi dadah habis habisan dan visi yang dibawanya ialah Negara bebas dadah 2015.

            Objektif Penubuhannya adalah untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta agensi-agensi mereka dan lain-lain badan dalam usaha untuk menghapuskan pengeluaran dan perniagaan dadah yang menyalahi undang-undang dan penggunaannya dalam apa-apa bentuk dan untuk membasmi serta menjalankan penyelidikan mengenai penggunaan dadah dan untuk membantu bekas-bekas penagih dadah melalui jagaan lanjutan. Selain itu, untuk menyedarkan masyarakat akan bahaya penggunaan dadah dan melibatkan masyarakat dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah serta bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan ini untuk melancarkan kegiatan-kegiatan Persatuan itu dalam peringkat Negeri dan Daerah dan memberi galakan serta bekerjasama dengan Persatuan-persatuan dan Badan-badan yang mempunyai tujuan yang sama dengan Persatuan ini. 

Kerajaan Perlu mewujudkan kerjasama dengan orang awam. Hal ini bertujuan supaya sentiasa berganding bahu bagi sama-sama membanteras isu penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa terutama dalam kalangan golongan remaja. Sebagai contoh, masyarakat dan pihak kerajaan perlu memata-matai serta bertindak pantas dalam melaporkan kegiatan-kegiatan yang mencurigakan. Ibu bapa perlu mengawasi dan bertanggungjawab dalam menjaga anak-anak mereka. Selain itu, kawalan kastam yang ketat perlu dilaksanakan.

Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye yang juga bekas pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) berkata, penagihan dadah merupakan masalah serius di Malaysia dengan purata 16 penagih baru dan 18 penagih berulang dilaporkan setiap hari di sepanjang tahun lepas. Berdasarkan statistik 2008 yang dikeluarkan oleh Unit Sistem Maklumat Dadah Kebangsaan (Nadi) seramai 6,413 (51.92 peratus) daripada 12,352 penagih dadah dikenalpasti merupakan penagih berulang. Strategi yang dilakukan adalah dengan membantu penagih dengan methadone. Matlamat rawatan hari ini bukan lagi menghentikan sama sekali pengambilan dadah yang secara realitinya hanya boleh dicapai oleh sekumpulan kecil penagih tetapi satu pendekatan yang lebih realistik dikenali sebagai `harm reduction’ yang dapat membantu lebih ramai penagih.

Oleh itu, seperti di kebanyakan negara maju, Malaysia turut mengamalkan Terapi Penggantian Dadah (DST) sejak 2002 yang merupakan pilihan lebih berpotensi dalam membantu penagih pulih. Melalui terapi ini penagih sebenarnya mengambil dadah gantian yang lebih selamat dan pada masa yang sama mereka menjalani proses pemulihan. 

DST menggunakan Buprenophine diperkenal di sini pada tahun 2002 dan diterima dengan baik, namun tergendala pada 2004 selepas penyalahgunaan dilaporkan. Bagaimanapun, pada 2005 Projek Methodone DST (MDST) Kebangsaan diperkenal oleh kerajaan. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Malaya (UM) melalui projek perintis MDST pada 2005 mencatatkan kadar pengekalan penagih yang datang untuk mendapatkan rawatan secara sukarela sehingga 90 peratus dalam tempoh setahun. MDST pada asasnya merupakan rawatan dalam senario pejabat dengan penagih hadir untuk mengambil dos methadone semasa tempoh induksi dan mengambil ubat itu di rumah semasa tempoh `maintenance’ atau penjagaan. Kakitangan yang mengendalikan penagih ini juga akan memantau kemajuan rawatan.

Terapi ini menangani secara langsung proses psikologi di sebalik ketagihan dan mendambakan dadah. Kajian juga menunjukkan penagih yang dijangkiti HIV dalam program MDST menunjukkan keputusan yang lebih baik terhadap rawatan Antiretroviral (ARV) dengan kadar kejayaan yang sama berbanding kes HIV positif yang tidak berkaitan dengan penagih dadah. Dengan kejayaan yang dicatatkan oleh MDST di negara-negara lain dan dalam menepati Matlamat Pembangunan Milennium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Malaysia kini meningkatkan lagi program MSDT melalui `methadone up scaling’.

Universiti Malaya mencatat pencapaian penting dalam MDST dengan pembukaan Pusat UM bagi Sains Penagihan dan Klinik Penyelidikan Methadone (UMCAS) di Jalan Universiti. Ketua penyelaras pusat itu Dr Rusdi Abdul Rashid berkata pusat berkenaan merupakan hasil daripada projek perintis MSDT yang dilancarkan pada 2005 di klinik psikologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC). Hasilnya, selepas beberapa minggu memulakan rawatan, kebanyakan penagih dapat kembali bekerja dan menikmati kehidupan yang lebih baik. Klinik itu dijangka memberikan rawatan kepada antara 200-400 pesakit sebulan dengan sekurang-kurangnya 200 merupakan mereka yang daripada senarai menunggu di klinik psikologi. Menurut Dr Rusdi, klinik itu sedia memainkan peranan besar dalam mencapai matlamat kerajaan untuk memulihkan sehingga 60 peratus daripada sejumlah 72,000 penagih heroin yang diramalkan menjelang 2015. MDST kemungkinan harapan terbaik buat masa ini dalam merawat penagih dadah dan banyak pusat pemulihan mula mengamalkan program ini. Bagaimanapun bilangan penagih yang meningkat setiap tahun masih membimbangkan kerana beban yang ditanggung untuk memulihkan mereka.

No comments:

Post a Comment