Tuesday 30 October 2012

FAKTOR-FAKTOR PENGAMBILAN DADAH




Menurut  Profesor Ahmad, dadah memberi implikasi sehingga boleh meranapkan keutuhan sesebuah Negara.Bukti sejarah juga menunjukkan kekalahan China di tangan inggeris dalam Peperangan candu adalah disebabkan rakyatnya yang menghisap candu. Siapakah harus kita salahkan dalam konteks penyalahgunaan dadah dalam kalangan remaja terutamanya. Sekarang bukanlah masanya untuk kita menuding jari dan menyalahkan sesiapapun. Yang lebih afdal ialah mencari faktor perdana yang menyebabkan remaja “terjun” ke lembah dadah. Antara faktor pengambilan dadah ialah faktor diri individu itu sendiri, faktor pengaruh rakan sebaya dan juga faktor persekitaran.

Faktor individu
Faktor pertama iaitu faktor individu. Faktor individu yang dimaksudkan ialah seperti faktor ingin mencuba sesuatu yang baru. Hal ini pada kebiasaannya berlaku ke atas remaja yang mana pada ketika itu berlaku perubahan hormon yang menimbulkan perubahan sikap. Sememangnya naluri manusia condong ke arah mencari sesuatu yang baru dan yang luar biasa. Jadi, untuk memuaskan kehendak mereka, remaja terdorong ke arah pengambilan dadah tanpa memikirkan kesan buruknya. Menurut statistik, bilangan penagih dadah meningkat 25 peratus dari tahun ke tahun dan kebanyakkan daripada mereka bermula dengan rokok.
Selain itu, individu yang terlibat dengan dadah kebiasaannya adalah individu yang mengalami tekanan dan tidak mampu mengatasi tekanannya dengan cara yang betul. Contohnya tekanan daripada tanggungjawab yang terpaksa dipikul terhadap keluarga, tekanan di tempat kerja,tekanan menghadapi penyakit dan juga tekanan belajar. Individu sebegini mengambil jalan mudah untuk melupakan permasalahan dengan mengambil jalan mudah yang akhirnya merosakkan diri sendiri.
 Kini, remaja bukan hanya berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah semata-mata. Harapan yang tinggi yang diletakkan oleh ibu bapa agar mereka mencapai prestasi yang cemerlang dalam pelajaran telah menjadi suatu tekanan yang hebat kepada remaja. Selain menghadiri kelas di sekolah, mereka terpaksa menghadiri kelas-kelas yang lain seperti kelas tuisyen, muzik, tarian, seni pertahanan diri dan sebagainya bagi memenuhi kehendak ibu bapa. Akibatnya, mereka tidak mempunyai masa yang tersendiri untuk beristirahat dan melakukan hobi yang digemari oleh mereka. Tekanan ini akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononnya ingin mencari ketenangan jiwa. Mereka berpendapat bahawa pengambilan dadah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka dalam sekelip mata sahaja.
Pada masa sekarang, kebanyakkan remaja yang terlibat dengan dadah adalah disebabkan oleh kurangnya pendidikan agama. Hal ini berlaku kerana ibubapa tidak memberi perhatian kepada anak mereka kerana selalu sibuk dengan kerja dan yang paling malang lagi ibu bapa sendiri tidak mengamalkan nilai-nilai agama.  Tambahan lagi,  dalam dunia moden ini remaja sangat terdedah dengan gejala-gejala sosial yang boleh merosakkan akal fikiran mereka. Kurangnya pendidikan agama menyebabkan remaja sesuka hati melakukan perkara yang telah dilarang oleh agama. Selain itu juga ada yang menggunakan dadah untuk kegunaan keseronokan seksual. Oleh itu, pendidikan agama amatlah penting bagi menghalang atau menghindari dari perbuatan yang di anggap hina ini.
kajian Tee (1970), Wiener dan Egen (1973) dan Friedman dan Beschner (1982) melaporkan majoriti penagih dadah berasal daripada keluarga yang berpecah-belah akibat daripada perceraian, perpisahan atau kematian ketua keluarga. Kajian berdasarkan pemerhatian yang dijalankan oleh Lewis dan Osberg (1958) juga mendapati kebanyakan  ibu bapa penagih sama ada bercerai ataupun berpisah. Aspek kasih sayang antara ibu bapa dan anak juga telah dihubungkan dengan tingkah laku penyalahgunaan dadah. Kajian Russell (1974) mendapati anak-anak yang kurang mendapat kasih sayang daripada ibu bapa besar kemungkinan akan terlibat dengan tingkah laku  devian terutamanya tingkah laku penyalahgunaan dadah. Streit et al. (1974), dan Eldred dan Brown (1974) turut mendapati sebilangan besar penagih dadah membuat persepsi bahawa ibu bapa mereka kurang memberi kasih sayang terhadap mereka.



Kasih sayang merupakan satu keperluan bagi diri anak-anak. Memperolehi kasih sayang daripada ibu bapa bererti anak-anak tersebut telah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada ibu bapa mereka. Lantaran itu tidak timbul keperluan ke atas diri mereka untuk mencari sumber-sumber lain bagi memenuhi kehendak asas tersebut. Bagaimanapun terlalu banyak kasih sayang yang diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anakjuga boleh menimbulkan kesan negatif ke atas diri anak-anak. Anak-anak akan menjadi manja dan boleh bersikap tidak bimbang untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak ibu bapa atau pun individu-individu lain kerana mereka tahu bahawa ibu bapa tetap menyayangi dan berpihak kepada mereka. Kesimpulannya, pemberian kasih sayang perlu seimbang dengan kawalan. Terlalu banyak kasih sayang tanpa kawalan mengurangkan keupayaan anak-anak untuk berdikari dan memikul tanggungjawab apabila dewasa. Kawalan yang terlalu rapi tanpa diiringi kasih sayang juga boleh menimbulkan kesan negatif ke atas anak-anak hingga menyebabkan mereka menjadi individu dewasa yang dingin dan tidak boleh bertolak ansur.

Faktor rakan sebaya
Faktor kedua ialah faktor rakan sebaya. Hal ini demikian kerana kebanyakan masa remaja diluangkan bersama dengan rakan sebaya mereka. Oleh itu, pemilihan rakan yang sesuai haruslah dilakukan dengan bijaksana oleh setiap remaja. Sekiranya rakan sebaya yang digauli oleh mereka terlibat dalam pengambilan dadah, secara tidak langsung mereka sendiri akan terikut-ikut dengan sikap rakan mereka. Hal ini jelas terbukti hasil temubual bekas penagih di Pondok Inabah di kuala Terengganu yang kebanyakan daripada mereka mula terjebak dengan dadah akibat suka melepak dengan rakan yang sememangnya seorang penagih.
Selain itu juga, remaja terlibat dengan dadah kerana ingin diterima dalam sesuatu kumpulan atau geng. Kebiasaannya, penagih terdiri daripada mat-mat rempit dan geng yang suka melepak. Sesetengah kes ada juga rakan yang sengaja membiarkan individu terjebak dengan dadah dengan sengaja meletakkan dadah ke dalam minuman dan akhirnya seseorang  itu akan ketagih.  Budaya ini harus dikikis kerana hanya akan menyebabkan gejala ini menjadi lebih serius. Para remaja perlu bersikap rasional dalam menghadapi cabaran hidup pada setiap masa.
Menurut Gecas et at. (1974), tanpa hubungan komunikasi yang berkesan, anak-anak akan merasa diri mereka tidak diberi perhatian dan disayangi. Akibat daripada keadaan ini, anak-anak tersebut akan cuba memenuhi keperluan ini daripada sumber-sumber lain termasuk dadah. Kajian Russell (1974), dan Jurich et al. (1985) rnendapati anak-anak remaja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah mempunyai corak hubungan komunikasi yang renggang dengan ibu bapa. Corak hubungan yang sedemikian menyebabkan perhatian anak-anak beralih kepada rakan-rakan sebaya.
Menurut kata pengarah Agensi Kebangsaan, senario ini sering berlaku disebabkan remaja tidak mempunyai kemahiran “interpersonal”. Kemahiran ini sebenarnya penting untuk remaja tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara menerusi rakan sebaya. Rentetan itu, remaja dinasihatkan supaya bijak memilih rakan. Rakan penting sebagai peneman namun rakan juga boleh menjadi musuh ibarat “kawan makan kawan”.


   Faktor persekitaran ( persekitaran di rumah, sekolah, masyarakat, dunia hiburan )
Faktor ketiga ialah faktor persekitaran yang merangkumi persekitaran di rumah, di sekolah, dan masyarakat. Persekitaran di rumah yang dimaksudkan ialah tentang perhubungan anak dan ibu bapa. Silatulrahim mereka biasanya longgar dan renggang. Menurut kajian, anak-anak yang kurang kasih sayang daripada ibu bapa banyak terlibat dengan dadah. Kekurangan perhatian daripada ibu bapa telah menyebabkan anak-anak merasa tidak disayangi dan mula keluar rumah sesuka hati dan merosakkan diri. Hal ini memang tidak dapat dinafikan terutamanya dalam era mengejar kesenangan hidup pada hari ini. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan serta menyediakan keperluan asas yang bertaraf tinggi untuk keluarga. Secara tidak langsung, masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Sesetengah ibu bapa tidak pernah bertanya ke mana dan dengan siapa anak mereka berkawan. Hal ini akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlauan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke lembah penagihan najis dadah. Ingatlah anak-anak ibarat kain putih dan ibu bapalah yang perlu mencorakkannya.
Selain itu, faktor persekitaran di sekolah juga menyumbang kepada penglibatan remaja dengan dadah. Contohnya pelajar yang bermasalah di rumah akan melepaskan tekanan di sekolah dengan melakukan salah laku seperti merokok, ponteng kelas akibat tidak bersemangat hendak belajar,  buli dan sebagainya sebelum mula terlibat dengan dadah. Jadi, guru kelas perlu peka terhadap permasalahan pelajar dan bekerjasama dengan guru  disiplin dan kaunselor terutamanya untuk mencari jalan penyelesaian. Guru-guru juga tidak harus memberi tekanan kepada pelajar dalam proses pembelajaran sebaliknya berilah kata-kata semangat dan motivasi sentiasa agar mereka rasa di dorong. Jika tidak, mereka akan rasa ibu bapa dan guru tidak menyayangi dan mula mengambil dadah. Guru harus peka akan sikap pelajar dan mengambil tahu tentang perkembangan pelajar.
            Faktor persekitaran yang lainnya ialah faktor masyarakat itu sendiri. Kalau diperhati, masyarakat kurang mengambil berat tentang permasalahan dadah. Walaupun mereka mengenali orang yang suka mengedar dadah, namun tetap mendiamkan diri dan membuat hal sendiri dan seterusnya tidak melaporkan kepada pihak polis. Bekalan dadah makinlah senang didapati oleh penagih yang sedia ada apabila masyarakat tidak mengendahkan tentang isu ini. Apabila pengedar dibiarkan bebas, bermakna makin ramai yang akan terjebak dengan dadah.
            Persekitaran dunia hiburan sekarang juga banyak menyumbang kepada penglibatan individu dengan dadah. Kewujudan kelab-kelab malam contohnya banyak menyumbang kepada gejala dadah terus berleluasa. Pada masa kini, remaja sangat terdedah dengan media cetak dan media elektronik. Hal ini adalah kerana melalui kedua-dua media ini dapat memberikan maklumat atau bahan yang tidak diperolehi disekolah mahupun di dalam buku teks sekolah. Walau bagaimanapun, kedua-dua media ini juga memberi pengaruh yang amat besar terhadap remaja hingga boleh mengubah tingkah laku serta akal fikiran mereka. Remaja bertindak melulu tanpa memikirkan perkara yang dibuat itu betul atau salah.


           

1 comment:

  1. perkongsian yang baik..semoga memberi manfaat bersama..('',)

    ReplyDelete